Tariqat Sanusiyah

Syeikh Muhammad bin Ali as-Sanusi telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiul awal 1202H/22 Desember 1787M di sebuah tempat yang bernama al-Wasitah, di Mustaghanim, Algeria.

Beliau mendapat didikan agama awal dari Sheikh Abu Ras RA. (wafat 1823 masehi) dan dari Sheikh Belganduz RA. (1829 Masihi). Kemudian beliau telah pergi ke Fas untuk memperdalamkan ilmu mengenai Tafsir Al-Quran dan ‘Ilmu Hadits, ‘Ilmu Hukum Fiqih serta lanjutan ilmu-ilmu pengajaran Islam dari tahun 1821 hingga 1828 Masihi. Beliau pergi mengerjakan Haji ke Mekah melalui jalan darat melalui Tunisia Selatan dan Mesir.

Di Mekah, beliau telah mendirikan Zawiyah tempat melatih murid-murid Tariqatnya di sebuah gunung yang terkenal bernama Jabal Abu Qabais. Beliau juga telah mendirikan Zawiyahnya di Cyreinaica, Baidha Temessa dan Jaghdub. Beliau adalah seorang ulama yang ikhlas dan suka merendahkan dirinya.

Syeikh Muhammad Ali as-Sanusi adalah penggagas kepada Thariqat Sanusiyah. Markas Tariqat Sanusiyah pada mulanya berada di Jaghdub antara tahun 1855 hingga 1895, kemudian berpindah ke Kufra pada tahun 1895 hingga 1899 dan kemudiannya telah berpindah ke Guro pada tahun 1899. Pada tahun 1902 markasnya telah kembali berpindah di Kufra manakala zawiyah-zawiyahnya telah meningkat dari dua puluh buah dalam tahun 1859 telah menjadi seratus buah dalam tahun 1884 Masehi. Tariqatnya berkembang luas dari Maroko hingga ke Somalia dan daerah pedalaman Libya. Tariqat ini bersifat keras terutamanya dalam melakukan Jihad atas Jalan Allah dan mentaati para pemimpinnya. Antara wirid-wirid yang dilakukan oleh penganut Tariqat ini ialah zikir “Ya Latif” sebanyak seribu kali secara Sirr. Mereka berpegang dengan Hukum Syara’ yang berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadits menuruti Mazhab Maliki.

Tariqat Sanusiyah ini juga dikatakan mempunyai pengaruh Tariqat Tijaniyah dan Tayyibiyah yang merupakan cabang dari Tariqat Ahmadiyah, Rashidiyah dan Idrisiyah yang dinisbatkan dengan gurunya Hadhrat Ahmad Bin Idris Al-Fasi Rahmatullah ‘alaih yang meninggal dunia pada tahun 1837 Masehi di Sabia.

Di katakan juga bahawa Tariqat Sanusiyah ini merupakan cabang dari Tariqat Qadiriyah yang telah dikembangkan oleh Hadhrat Ibnu Dabbagh Rahmatullah ‘alaih di sekitar tahun 1700 Masehi di Marokko. Tariqat Sanusiyah adalah sangat sederhana dalam amalan wiridnya dan tidak menyimpang daripada ajaran Islam yang asli. Antara bintang dari tarekat sanusiyah ini adalah Sheikh Umar Mukhtar Singa Padang Pasir yang terkenal itu.

Facebook

Spotify

Youtube Channel